Sunday, October 19, 2008

Imbasan kembali cerita lama


Minat saya dalam seni hiburan tempatan ini bermula ketika saya berusia 13 tahun. Ketika itu saya mengikuti mama saya ke pulau Labuan. Saya meminta emak saya membelikan saya sebuah gitar kapuk hanya berharga RM15.00 sahaja ketika itu. Ketika itulah saya mula memetik gitar. Ketika masih belajar dalam Tingkatan 3, saya telah diambil bermain gitar dalam kumpulan Band kampung-kampung saja. Di situ saya beroleh banyak pengalaman dan membangkitkan semangat saya untuk menyanyi dan mencipta lagu. Pada masa itu sehinggalah sekarang ini saya amat meminati penyanyi-penyanyi tempatan seperti Mandiang John Gaisah, Justin Lusah, Billy Gantong, Ambrose Mudi dan banyak lagi. Walaupun pada masa itu aktiviti bermain muzik dan menyanyi ini hanya hiburan pada masa lapang, namum dalam hati kecil ini ada juga impian untuk merakamkan album konon-kononnya..eheheee..itulah perkara sebenarnya yang tergambar dalam fikiran saya ketika itu. Kegiatan seni saya tidak berhenti di bangku sekolah saja, pada masa saya belajar di Pulau pinang, saya berpeluang untuk mempelajari teknik vokal secara tidak formal daripada seorang penyanyi classical berbangsa portugis yang cacat penglihatan (orang buta), sedikit sebanyak telah memberi saya ilmu dan pengalaman cara-cara menyanyi dengan betul. Pada tahun 1987 saya telah mengikuti pertandingan sugandoi di daerah Kuala Penyu dan menjadi juara pada ketika itu. Pada tahun 1988 pula saya telah mewakili Winner Hotel dalam Pertandingan Bintang Hotel Peringkat Negeri Sabah dan berjaya menjadi juara. Pada masa itu saya mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada diri saya sendiri bahawa saya berbakat dalam bidang seni hiburan tempatan. Saya telah mendapat jemputan dari RTM Sabah untuk menyanyi dalam beberapa aktiviti seperti Mari Ke Pesta, Konsert Hari Raya dan sebagainya. Setelah mendapat pekerjaan tetap bertugas sebagai pendidik di Sekolah Menengah Stella Maris, saya berpeluang mendidik anak penyanyi mandiang John Gaisah iaitu Edit dan Esther John Gaisah. Ketika itu saya juga berkesempatan menyanyi dengan Edit John Gaisah sebelum dia menghabiskan sesi persekolahannya. Kesibukan tugas harian sedikit sebanyak membuatkan saya mula menyepi dan kurang berkiat dalam bidang hiburan hampir 13 tahun. Pada tahun 2004 saya mula mengumpul koleksi lagu dan mencipta lagu dalam bahasa dusun. saya telah mengenali saudara James Sami, Ateng dan Jovita pada masa itu dan ternyata kami mempunyai minat yang sama. Kepakaran dan bakat semulajadi yang ada pada saudara James sami dan Ateng, kami berusaha untuk menubuhkan syarikat rakaman dan merakamkan album dalam bentuk kompilasi "Variasi 2005". Daripada situlah bermulanya semangat dan kesungguhan saya untuk terus bergiat dalam bidang seni hiburan tempatan dan sehingga saya berjaya merakamkan album solo saya dalam bentuk kaset dan MTV Karaoke pada tahun 2007. Saya telah mendaftar sebagai ahli PERTISA pada tahun 2006 dan bergiat aktif sampai sekarang ini. Saya telah banyak mengenali artis-artis tempatan di negeri Sabah ini melalui penglibatah saya dalam bidang seni hiburan tempatan ini. Dari situ juga saya telah mengenali En. Simon Bukag, pengurus Simusic Studio (SMS) dan sekarang ini bersama-sama mengurus dan menerbit album artis-artis Simusic Studio.Pengalaman bekerja sebagai penerbit dan pengurus pemasaran album artis-artis Simusic dan TJC Talent Studio sangat menyeronokkan dan dapat memberi peluang kepada diri saya untuk menyumbang serba sedikit ke arah perkembangan industri hiburan tempatan khasnya di negeri Sabah ini.

1 comment:

Bambangan @ Ony said...

Teruskan berkarya, kami pasti akan menyokong walaupun hanya sebagai peminat muzik tempatan......