Tuesday, April 7, 2020

Komsas: Sajak Sang Gembala Kuda

Sang Gembala Kuda
Dia lelaki bergelar perkasa
dengan cemeti keberanian di tangan
rembat angkuhnya memacu takut
menghalau kuda-kuda di padang
berebutan memburu kandang.

Rumput dan jerami terhidang
adalah kanun janji kesetiaan 
dimamah rakus kala lapar
tak peduli nasib diri setelah kenyang
jadi tunggangan memburu rakan.

Dia lelaki punya kuasa
sesekali suaranya lebih gempita
daripada ringkik kuda sekandang
pacuannya diiring seribu keberanian
meredah onak di rimba perburuan
meranduk lumpur di paya penindasan
sambil melibas cemeti durjana
dia melempar muslihat
aku penyelamat maruah
berjuang atas dasar kebenaran
menentang semua kebobrokan. 

Dia lelaki sang gembala kuda
hanya mengenal pantas tunggangan
tanpa membaca keletihannya
dia lelaki sang gembala kuda   
hanya tahu mengejar kehebatan
tanpa menghitung kesakitannya
dan kuda-kuda itu ditunggangi
ditunggangi dan ditunggangi!  

MAKSUD SAJAK

Rangkap 1: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang gagah. Berbekalkan keberanian yang dimilikinya, dia dengan angkuh merembat kuda dengan menggunakan cemeti untuk menakutkan kuda-kuda itu sambal menghalau kuda-kuda yang sedang berada di padang bersegera balik ke kandang.

Rangkap 2: Sementara itu, rumput dan jerami merupakan makanan yang lazim terhidang dan akan dimakan oleh kuda-kuda ketika lapar. Setelah kenyang, kuda-kuda itu tidak peduli akan nasib mereka dijadikan kuda tunggangan untuk menjejaki kuda-kuda yang lain.

Rangkap 3: Dengan kuasa yang ada padanya dan apabila sesekali bersuara nyaring, sang gembala kuda begitu berani dan yakin menunggang kuda-kuda itu menempuh segala rintangan dan kepayahan. Dia bijak menggunakan tipu helahnya dengan berpura-pura sebagai penyelamat maruah yang kononnya berjuang atas dasar kebenaran dan menentang segala penipuan.

Rangkap 4: Sang gembala kuda ialah seorang lelaki yang hanya ingin mengetahui kepantasan larian kudanya tanpa mempedulikan kepenatan kuda itu. Sang gembala kuda juga hanya tahu mengejar kejayaan tanpa mengambil kira kesengsaraan kuda itu. Sang gembala kuda hhanya mementingkan diri apabila kuda-kuda itu terus ditunggangi berulang-ulang kali tanpa rasa belas.

TEMA
Sajak ini bertemakan kekuasaan penjaga kuda dan penganiayaan tenaga haiwan yang dilakukannya terhadap kuda-kuda tunggangannya. Berbekalkan kuasa yang dimiliki, dengan angkuh dan berani, penjaga kuda Berjaya menakutkan serta mengawal kuda-kudanya kembali ke kandang. Penjaga kuda hanya mementingkan diri dan sanggup menggunakan sepenuh tenaga kuda-kudanya tanpa mempedulikan nasib haiwan tunggangannya itu.

PERSOALAN
1.     Kekuasaan mempengaruhi gaya kepimpinan.
2.     Ketegasan dalam memimpin.
3.     Penganiyaan terhadap haiwan.
4.     Kepatuhan menurut pemerintah.
5.     Keberaniaan menempuh cabaran dan rintangan.
6.     Kebijaksanaan mengeksploitasi golongan yang lemah.
7.     Pasrah dan reda akan ketentuan Ilahi.


BENTUK SAJAK
1.     Sajak ini berbentuk bebas atau tidak terikat.
2.     Sajak ini terdiri daripada empat rangkap.
3.     Bilangan barisnya tidak sama, iaitu rangkap pertama ada lima baris, rangkap kedua ada lima baris, rangkap ketiga ada sebelas baris, dan rangkap keempat ada  lapan baris.
4.     Jumlah patah kata  dalam setiap baris juga tidak sama, iaitu antara tiga hingga enam patah kata setiap baris.
5.     Jumlah suku kata  dalam setiap baris terdiri daripada lapan hingga tiga belas  suku kata.
6.     Rima akhir sajak ini bebas/tidak sama;  abcdd, abcab, aabccadecc, abaabacc.

GAYA BAHASA DAN KEINDAHAN BUNYI
1.     Pemilihan kata yang indah dan ayat atau baris yang dibentuk adalah puitis. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Meredah onak di rimba perburuan – rangkap 3, baris 5
2.     Epifora. Contohnya, perulangan kata ditunggangi – rangkap 4, baris 7 dan baris 8.
3.     Repetisi atau perulangan. Contohnya:
Ditunggangi dan ditunggangi – rangkap 4, baris 8.
4.     Penggunaan metafora. Contohnya:
(a)    Rimba perburuan
(b)   Paya penindasan
(c)    Cemeti durjana
5.     Personifikasi. Contohnya:
(a)   Rembat angkuhnya memacu takut – rangkap 1, baris 3
(b)   Pacuannya diiringi seribu keberanian – rangkap 3, baris 4
6.     Hiperbola. Contohnya:
Dimamah rakus kala lapar – rangkap 2, baris 3
7.     Sinkope. Contohnya:
Tak peduli nasib diri setelah kenyang – rangkap 2, baris 4
8.     Inversi. Contohnya:
Dan kuda-kuda itu ditunggangi – rangkap 4, baris 7
Sepatutnya: kuda-kuda itu ditunggangi dan
9.     Unsur bunyi:
(a)   Asonansi. (perulangan bunyi vokal). Contohnya:
i.                 sesekali suaranya lebih gempita
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.
ii.               menentang semua kebobrokan
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi vocal sebanyak tiga kali.
(b)   Aliterasi. (perulangan bunyi konsonan). Contohnya:
i.                 ditunggangi dan ditunggangi!
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan dsebanyak tiga kali.
ii.               dia melampar muslihat
Dalam contoh ini, terdapat perulangan bunyi konsonan msebanyak dua kali.

NADA
Sajak ini bernada sinis. Nada sinis sesuai dengan sajak “Sang Gembala Kuda” yang menyatakan sikap mementingkan diri penjaga kuda dalam menjalankan tugasnya hingga menganiayai dan mengabaikan soal-soal penjagaan khusus terhadap haiwan itu.

NILAI
1.     Nilai tanggungjawab. Contohnya, penjaga kuda bertanggungjawab menjaga kuda tunggangannya dengan mengurus makan dan minum secara baik.
2.     Nilai keberanian. Contohnya, penjaga kuda berani menempuh berbagai-bagai kepayahan dan rintangan sewaktu menjaga kuda-kuda itu.
3.     Nilai kebijaksanaan. Contohnya, penjaga kuda bijak mengawal kuda tunggangannya detika dia menghalau kuda-kuda itu masuk ke kandang.
4.     Nilai kegigihan. Contohnya, penjaga kuda gigih melaksanakan tugasnya menjaga kuda-kuda tunggangan walaupun terpaksa menggunakan kekerasan terhadap kuda-kuda itu.
5.     Nilai kepatuhan. Contohnya, sekumpulan kuda digambarkan patuh akan arahan penjaga kuda.

PENGAJARAN
1.     Kita hendaklah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan oleh ketua.
2.     Kita mestilah berani mengahadapi berbagai-bagai rintangan tanpa mudah berputus asa.
3.     Kita perlulah gigih berusaha dalam melaksanakan satu-satu tugas agar kejayaan dapat dikecapi akhirnya.
4.     Kita sewajarnya patuh akan arahan dan suruhan ketua demi keharmonian sesebuah organisasi.
5.     Kita hendaklah bijak dalam merancang dan menjalankan tugas dengan baik dan sempurna.

Monday, April 6, 2020

AKtiviti PdPA di Rumah.

Tajuk: Komsas: Gurindam Dua Belas Fasal yang Ketiga


GURINDAM DUA BELAS (FASA YANG KETIGA)
Rangkap                                                                                              Maksud
Apabila terpelihara mata,
Sedikitlah cita-cita.
Apabila seseorang itu berjaya menjaga penglihatannya dengan baik, maka tidak akan timbul pelbagai keinginan yang dapat merosakkannya.
Apabila terpelihara kuping,
Khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila seseorang itu berjaya menjaga pendengarannya dengan baik, berita-berita yang tidak elok dapat dihindari.
Apabila terpelihara lidah,
Nescaya dapat daripadanya faedah.
Apabila seseorang itu berjaya mengawal pertuturannya, banyak kebaikan akan diperolehnya.
 Bersungguh-sungguh engkau memelihara tangan,
Daripada segala berat dan ringan.
Apabila seseorang berjaya mengawal anggota tangannya, perkara yang berat dan ringan akan dapat diselasaikan.
Apabila perut terlalu penuh,
Keluarlah fiil yang tiada senonoh
Sekiranya seseorang gagal mengawal nafsu makannya, maka banyak perkara yang memudaratkan akan timbul.
Anggota tengah hendaklah diingat,
Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Perlunya kebijaksanaan mengawal nafsu syahwatnya supaya semangat mereka tidak mudah luntur.
Hendaklah peliharakan kaki,
Daripada berjalan yang membawa rugi.
Perlunya mengawal pergerakan kaki agar tidak pergi ke tempat- tempat yang boleh membawa kerosakan

TEMA
Nasihat memelihara anggota diri.
 Gurindam ini memberikan nasihat supaya kita sentiasa memelihara anggota diri dan berbudi pekerti.
PERSOALAN
1.      Persoalan manfaat memelihara penglihatan dalam kehidupan.
Cth : Mata haruslah dipelihara sebaik-baiknya supaya tidak melihat sesuatu perkara yang dilarang oleh Tuhan. (Rangkap 1)
2.     Persoalan kebaikan memelihara tutur kata.
Cth :  Seseorang yang menjaga tutur kata akan mendapat banyak manfaat. (Rangkap 3)
3.     Persoalan kepentingan memelihara pendengaran.
Cth :  Telinga perlu dijauhkan daripada mendengar segala hasutan dan kejian. (Rangkap 2)
4.     Persoalan semangat penting dalam kehidupan.
Cth :  Kehidupan seseorang perlulah dijalani dengan penuh semangat. (Rangkap 6)
GAYA BAHASA
1.      Kata ganda
Cth :  cita-cita (rangkap 1; baris 2)
2.     Asonansi
Cth :  Pengulangan vokal a  -Apabila terpelihara mata,( rangkap 1; baris 1)
3.     Aliterasi
Cth : Pengulangan bunyi konsonan g – Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan (rangkap 4 baris 1)
4.     Bahasa kiasan
Cth :  Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fiil yang tiada senonoh (rangkap 5)
BENTUK
1.      7 rangkap
2.     Setiap rangkap mengandungi 2 baris
3. Jumlah perkataan antara 2 hingga enam perkataan
Cth : Sedikitlah cita-cita. (rangkap 1; baris 2)
Di situlah banyak orang yang hilang semangat. (rangkap 6 ; baris 2 )
4.     Suku kata antara 8 hingga 15 suku kata
Cth : Se/di/kit/lah/ ci/ta/-ci/ta.  – 8 suku kata  (rangkap 1; baris 2)
Di/ si/tu/lah/ ba/nyak/ o/rang/ yang/ hi/lang/ se/mang/at
15 suku kata (rangkap 6; baris 2)
5.     Rima akhir aa
Cth:  Apabila terpelihara kuping, – a
Khabar yang jahat tiadalah damping. – a      (rangkap 2; baris 1 & 2)
NILAI
1.      Kebijaksanaan
Cth :  Kebijaksanaan dalam menuturkan kata-kata
2.     Kesederhanan
Cth: Kesederhanaan ketika menghadap rezeki.
3.     Kesabaran
Cth: Kesabaran memelihara mata daripada melihat perkara negatif.
4.     Berbudi bahasa
Cth : Seseorang perlu menjaga tutur kata agar mendapat banyak faedahnya.
PENGAJARAN
1.      Kita hendaklah menjaga penglihatan kita agar tidak menimbulkan keinginan yang tidak baik.
2.     Kita mestilah memelihara pendengaran kita agar tidak mendengar berita yang tidak sahih.
3.     Kita haruslah menjaga anggota kaki agar tidak menjejaki tempat yang tidak berfaedah.
.
Soalan latihan.
1.      Berdasarkan gurindam, mengapakah kita perlu memelihara anggota diri? [2 markah]
  1. Kemunculan media sosial seperti whatsapp, telegram, twitter dan facebook menjadi wadah kepada individu yang tidak bermoral untuk menyebarkan berita-berita yang boleh mempengaruhi minda pembacanya.
           Pada pendapat  anda, apakah  tindakan  yang  akan  anda  ambil sekiranya  anda  menerima sesuatu   berita yang diragui kebenarannya?        [3 markah]
3.     Huraikankan dua pengajaran yang terdapat dalam gurindam tersebut.                       [4 markah]